ANAM 2020 – Hadiah Terbesar Buat Industri Nasyid
Benar ada sesuatu yang istimewa bakal berlangsung hujung tahun ini
Jika diteliti, sejak Jun tahun ini banyak perkongsian menarik berkaitan perkembangan nasyid dikongsi oleh para penggiat industri nasyid tanah air di laman sosial masing-masing. Seolahnya ada berita gembira yang bakal mewarnai industri ini. Apatah lagi tanda pagar #munsyidbangkit dan #ANAM juga sering kelihatan mengiringi.
Pasti ramai yang masih berteka-teki apatah lagi kepimpinan tertinggi Munsyid Malaysia juga dilihat ada mengadakan kunjungan ke pejabat kementerian sebelum ini.
Insya-Allah, benar ada sesuatu yang istimewa bakal berlangsung hujung tahun ini!
Penganjurannya bukan sahaja untuk menghargai jerih payah penggiat irama nasyid tanah air atas penghasilan karya seni mereka tetapi semestinya turut mengubat kerinduan bahkan menggembirakan hati para peminat dan penyokong setia industri ini. ANAM sudah pasti membawa landskap baharu kepada industri.
Ikuti beberapa kronologi ringkas yang sempat dirakam:
"Saya mahu anugerah berprestij seperti Anugerah Nasyid kembali."
6 Jun 2020
Saya mahu anugerah berprestij seperti Anugerah Nasyid kembali.
Begitulah antara harapan dan hasrat yang disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika pertemuannya bersama beberapa wakil penggiat industri nasyid tanah air.
Dalam pertemuan tersebut juga, Dr. Zulkifli turut berkongsi berita gembira apabila memaklumkan bahawa mana-mana penggiat nasyid yang hilang pencarian kerana bergantung penuh pada hiburan sepanjang pandemik akan dilantik sebagai bilal rawatib masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.
Lebih menggembirakan, susulan pertemuan tersebut satu jawatankuasa teknikal dikhabarkan akan ditubuhkan untuk merangka pelan pembangunan semula industri nasyid dalam usaha memperkasa industri ini. Beberapa agensi seperti TVAlHijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Nasyeed.com dan badan bukan kerajaan, Creative Dakwah Club antara rakan sinergi yang disebut-sebut.
Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia, Muhammad Razin Che Mud dalam perkongsiannya di sosial media turut menzahirkan perasaan gembira kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri sudi mendengar luahan dan pandangan penggiat industri nasyid menerusi pertemuan yang diadakan di TVAlhijrah ketika itu.
Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Nasyeed.com, Ahmad Zuwairy Che Ramly, penyanyi Daqmie dan juga wakil TVAlHijrah.
16 Jun 2020
Kepimpinan Munsyid Malaysia terus progresif mengadakan satu mesyuarat menerusi aplikasi Google Meet. Pelbagai isu dan idea dibincangkan serta diperincikan untuk menyahut seruan Dr. Zulkifli dalam memperkasakan kembali nasyid tanah air.
22 Jun 2020
Sekali lagi, sesi sumbang saran bersama EXCO Munsyid diadakan sebagai persediaan pembentangan kepada Dr. Zulkifli, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Diskusi kelihatan serius apatah lagi pelan tindakan dan dapatan perbincangan turut dikongsi kepada khayalak menerusi akaun Instagram Presiden Munsyid Malaysia.
6 Julai 2020
Sembang santai antara wakil Munsyid Malaysia bersama wakil Unit Muzik Kementerian Komunikasi dan Multimedia diadakan. Pertemuan ini penting kerana menjadi persediaan akhir sebelum Munsyid Malaysia bertemu Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
5 Ogos 2020
Anugerah Nasyid peringkat kebangsaaan dibentangkan dalam sesi sidang parlimen.
Embedded content: https://www.facebook.com/469230529778698/videos/979153615889642
22 Oktober 2020
Hari penuh sejarah. Norma baharu bukanlah penghalang. Pertemuan penting bersama Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia diadakan menerusi aplikasi Zoom.
Ada sesuatu hasil daripada pertemuan akhir ini. Khabarnya dukungan daripada beberapa agensi lain seperti MAIWP, IKIM, TVALHIHRAH dan Pusat Pungutan Zakat juga terlibat.
Muhammad Razin Che Mud dalam perkongsiannya memberitahu terharu dengan iltizam dan kesungguhan yang dizahirkan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan industri nasyid Malaysia.
Tambahnya, inisiatif ini pastinya mendorong para penggiat khususnya nasyid untuk terus menghasilkan karya yang bermutu dalam menghibur dan mendidik masyarakat. Antara yang dilihat turut serta semasa pertemuan dalam talian tersebut ialah Dr. Fitri Haris, Nabil Ahmad, Hazamin Harun, Suffian Amrin dan ramai lagi.
27 Disember 2020
Bismillah... Nantikan!