APNI dan ANAM2020, Dua Anugerah Berbeza, Matlamat yang Sama
Penutup tirai tahun 2020 menyaksikan kebangkitan irama Nasyid tercetus dengan berlangsungnya beberapa acara besar yang melibatkan penggiat industri Nasyid.
Penutup tirai tahun 2020 menyaksikan kebangkitan irama Nasyid tercetus dengan berlangsungnya beberapa acara besar yang melibatkan penggiat industri Nasyid.
Ahad ini, 20 Disember 2020 bakal dilangsungkan sebuah acara pertandingan penciptaan lagu anjuran institusi IKIM yang diberi nama Anugerah Pencinta Nasyid IKIM secara langsung di laman sesawang TV Ikim, Facebook IKIM, Youtube IKIM dan turut boleh didengari di Radio IKIM.
Anugerah Pencinta Nasyid IKIM bakal mempertandingkan 7 buah lagu ciptaan baru yang melibatkan penerbit-penerbit seperti Mohammad Hafiz bin Hamidun, Azmee bin Abdul Manap (Daqmie), Muhammad Yasin bin Sulaiman, Ikhwan Fatanna, Fuad bin Zabidi (Fuad Ko), Azhrul bin Nasir (Along Exists) dan Mohd Hazry bin Mohd Hafidz (AG Coco).
Manakala penyanyi yang akan turut serta adalah kumpulan Rabbani, Hijjaz, InTeam, Zayne dan Halim Ahmad, Far East, Fadzli Fareast, Naim Helmi dan Maliq Suhaimi, Awla serta Simfoni dan Afad.
Selepas berakhirnya acara APNI ini, peminat irama Nasyid bakal disajikan pula dengan acara Anugerah Nasyid Malaysia 2020 atau ANAM 2020 yang akan disiarkan secara langsung melalui rangkaian TV1 RTM pada 27 Disember 2020 jam 9 malam.
Acara gilang-gemilang ini bakal mempertandingkan 11 kategori dengan sebahagian besarnya diadili oleh juri profesional dan 3 kategori melalui pengundian awam di laman sesawang Anam.my.
Walaupun kedua-dua acara ini mempunyai format yang berbeza, namun matlamatnya sama iaitu bagi mengembalikan kegemilangan irama nasyid Malaysia dan meningkatkan kualiti produksi muzik nasyid. Kedua-dua acara ini mendapat sokongan penuh pihak kerajaan khususnya melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri.