Laman Sesawang Anugerah Nasyid Malaysia 2020 Diserbu Peminat
Jumlah undian mencecah hampir 10,000 sehingga hari ini
Laman sesawang rasmi Anugerah Nasyid Malaysia 2020 iaitu ANAM.MY hari ini menerima lawatan pengunjung luar jangkaan. Ini berikutan peningkatan secara mendadak peminat-peminat yang ingin mengundi artis nasyid pilihan mereka di laman sesawang tersebut.
Menurut salah seorang penyelenggara laman tersebut saudara Wan Saleh, undian sudah hampir mencecah 10,000 undian yang mana sistem undian menggunakan kaedah pengenalan identiti melalui e-mel peribadi. Hanya satu undian sahaja dibenarkan bagi setiap seorang pengundi bagi setiap kategori.
"Hari ini kami terpaksa membuat sedikit penyelenggaraan laman web bagi membuka peluang lebih ramai untuk mengundi dengan menambah lagi ruang data laman sesawang ini. InshaAllah, sesi undian peminat ini akan dibuka sehingga 24 Disember ini sebelum ia ditutup untuk pengiraan undi bagi menentukan pemenang," tambah beliau lagi.
Anugerah Nasyid Malaysia 2020 bakal mempertandingkan 11 kategori di mana sebahagian besar kategori dinilai oleh barisan juri professional. Manakala 3 kategori dibuka kepada pengundian awam iaitu Kategori Artis Nasyid Pilihan, Artis Baru Pilihan dan Artis Nasyid Nusantara.
Bagi kategori Artis Nasyid Nusantara, sebanyak tujuh penyertaan dipilih ke peringkat akhir untuk undian antaranya kumpulan Sabyan dari Indonesia, Sufi Jamal dari Singapura, Wildarn dari Thailand, ArRehdwan dari Brunei dan banyak lagi.
Anugerah Nasyid Malaysia 2020 anjuran Munsyid Malaysia dan disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri itu akan bersiaran secara langsung di saluran RTM TV1 pada 27 Disember ini jam 9 malam.