“Nasyid Bukan Muzik Kampung.” — Halim Ahmad
Sebagaimana penghasilan karya yang perlu berani mempertaruhkan kelainan baharu, identiti juga turut berubah.
Seiring dengan peredaran zaman, setiap perkara mengalami perubahan dan perkembangan tersendiri tidak terkecuali nasyid. Bayangkan dahulu nasyid yang menjadi alternatif hiburan islamik mula tumbuh dengan mengetengahkan lagu-lagu berirama padang pasir akibat pengaruh timur tengah. Menariknya, masyarakat setempat ketika itu juga menjadikan timur tengah sebagai model dalam perkembangan Islam bahkan menerima segala perkara yang dibawa dalam aspek amalan Islam termasuklah hiburan (Farid Mat Zain, 2006).
Kemuncaknya bermula pada era 70-80 an. Medium dakwah melalui seni suara ini mula diperkenalkan dan dicetuskan dengan munculnya beberapa kumpulan seperti Al-Mizan, Hidayah dan Al-Jawahir.
Sekitar tahun 1997 pula industri nasyid bahkan muzik tanah air mencipta rekod dan sejarah baharu dek gelombang yang dicetuskan oleh kumpulan Raihan. Masakan tidak album pertama Raihan yang berjudul Puji-pujian terjual hampir 600,000 unit. Fenomena ini sekali gus melayakkan kumpulan legenda ini diangkat sebagai pelopor nasyid kontemporari.
Rentetan kejayaan demi kejayaan dan penerimaan baik yang diterima dalam kalangan masyarakat, muncul pula kumpulan lain yang turut mewarnai industri seni nasyid. Antaranya ialah Saujana, Inteam, Hijjaz, The Zikr, Rabbani, Nowseeheart dan banyak lagi sehingga hari ini.
Bukan Muzik Kampung
“Kumpulan-kumpulan nasyid pada zaman Raihan terkenal dengan konsep harmoni, kekuatan vokal selain karya yang diangkat benar-benar berkisarkan tentang Islam. Pada zaman kami pula iaitu pada awal 2000, para penasyid mula selitkan unsur-unsur cinta yang menekankan hablum minallah dan hablum minannas. Kedua-duanya menjadi seiring sebagai usaha untuk menarik golongan remaja dan juga golongan awam,” kongsi Halim Ahmad, salah seorang ahli kumpulan Devotees ketika dihubungi baru-baru ini.
Memberitahu amat menyenangi genre yang dibawa, beliau bagaimanapun menegaskan bahawa nasyid bukanlah sekadar muzik kampung sebaliknya berdiri dengan keunikan tersendiri.
“Melodi boleh disesuaikan dalam pelbagai genre. Boleh rap, rock dan sebagainya tetapi keutamaannya ialah masih mengekalkan lirik yang baik.”
“Kita tidak berubah”
Ketika ditebak dengan persoalan berkaitan identiti penasyid hari ini, penyanyi dan komposer yang semakin membina nama ini tidak melatah sebaliknya tenang berbicara.
Kopiah!
Itulah yang selalu disinonimkan dengan penasyid. Halim juga tidak menidakkannya. Menurutnya rata-rata imej penasyid terdahulu dicorakkan oleh syarikat rakaman sehinggakan berkopiah juga seolah-olahnya menjadi kemestian yang diterima pakai dalam kalangan masyarakat.
Namun sebagaimana penghasilan karya yang perlu berani mempertaruhkan kelainan baharu, identiti juga turut berubah. Hasilnya ada sahaja penasyid yang tampil bergaya dengan imej masing-masing sehingga wujud juga trend berbeza. Hal ini semestinya kerana adanya kebebasan dalam mengurus apatah lagi mencorak penampilan diri sendiri.
..Walau bagaimanapun ada beberapa kumpulan seperti Zayne yang diangkat sebagai artis baharu Inteam dan artis-artis Tarbiah Sentap dilihat mengisi kelompongan ini
“Prinsip setiap orang berbeza. Identiti itu juga fleksibel. Namun identiti utama yang kekal dan boleh dilihat dalam kalangan penasyid adalah melalui cara pergaulan dan cara komunikasi. Ibarat ikan di lautan meski hidup di tengah air asin, namun dagingnya tidak ikut asin. Sebagai penasyid, dia ialah orang yang sama walau di mana-mana sekalipun dia berada. Kita tidak berubah. Itulah sepatutnya yang menjadi prinsip identiti nasyid. Itu yang saya rasa perlu diperjuangkan.”
“Saya lihat muka-muka baharu sekarang masih membawa mesej yang sama cuma mereka tidak berkopiah. Ia bukan masalah besar sebab pada saya itu bukan syarat untuk berdakwah,” tambahnya lagi.
Nasyid Masih Ada Peminat
Sengaja mengusik berkaitan penerimaan karya nasyid dalam kalangan masyarakat hari ini tatkala dunia menawarkan kepelbagaian irama dan muzik tanpa sempadan, penyanyi yang juga sedang membangunkan perniagaan makanan di bawah label Sotong Crunch ini melihat sasaran pendengar terbahagai kepada dua kategori. Pertamanya, masyarakat yang seusia dengannya dan pastinya terdiri daripada mereka yang sudah berkerjaya dan juga sudah kurang mendengar muzik. Kedua, golongan remaja atau kelompok yang disebut sebagai BBNU atau ‘Budak Baru Nak Up’.
Halim tidak menafikan golongan pertama mungkin sudah memperlahankan minat atau mengehadkan masa mereka terhadap nasyid. Namun program-program besar seperti Gema Gegar Vaganza (GGV) anjuran Asto Oasis yang pernah menghangatkan kembali industri nasyid atau penganjuran mana-mana angerah besar sebelum ini melihatkan peminat dalam golongan ini akan muncul semula. Pendek kata, mereka sebenarnya ada!
Embedded content: https://www.youtube.com/watch?v=JvwhSEVqIXY
“Kadang mereka rindukan kemunculan (comeback) baharu, rasa nak dengar kembali muzik yang pernah menemani zaman mereka membesar, mereka rindukan muzik yang mengimbau.”
“Remaja hari ini pula tidak ada leader atau ikon nasyid yang boleh dijadikan rujukan. Jika dahulu Inteam misalnya dilihat atau disebut-sebut sebagai ikutan tetapi sekarang kurang. Walau bagaimanapun ada beberapa kumpulan seperti Zayne yang diangkat sebagai artis baharu Inteam dan artis-artis Tarbiah Sentap dilihat mengisi kelompongan ini.”
“Mereka adalah pelapis cuma tetap perlu mencari formula tersendiri agar boleh berdiri setanding dengan nama-nama besar yang lain dalam industri arus perdana seperti Haqiem Rusli, Hael Hussani, Naim Daniel dan lain-lain supaya nasyid dapat diterima balik,” luahnya yang juga dilihat bimbang dengan persoalan mengenai pelapis nasyid.
Harapan Buat ANAM
Menyentuh tentang Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) yang bakal berlangsung sekitar 27 Disember ini, Halim yang berkecimpung hampir 15 tahun dalam industri nasyid turut menzahirkan harapan agar penganjurannya setaraf dengan anugerah berprestij lain yang ada dalam industri muzik negara. Beliau juga menyimpan hasrat agar ANAM akan menjadi acara yang dinanti-nantikan peminat, menjadi bualan orang, mampu sohor kini (trending) juga menawarkan hadiah yang menarik.
Tambahnya justifikasi hadiah juga menjadi tanda aras (benchmark) kepada orang luar untuk melihat nasyid tidak jauh ke belakang dengan muzik arus perdana (mainstream) bahkan sebenarnya juga mampu terus melangkah ke hadapan.
Terdahulu, komposer dan penerbit album yang juga bergerak solo ini dilihat berjaya membuat “comeback” tersendiri apabila muzik video lagu berjudul Kekasih sohor kini di YouTube, dua tahun lepas. Catatan terkini tontonannya sudah menjangkaui 4.7 juta tontonan.
Terus bereksperimen baharu, lagu hasil penuh ciptaannya; Lembaran Juzuk Cinta yang juga menampilkan salah seorang kumpulan Zayne; Furqan Fawwas dilihat terus hit apabila sudah memperoleh 1 juta tontonan di platform yang sama walaupun baru dilancarkan beberapa bulan yang lalu.
Difahamkan Halim turut menghantar beberapa kategori pencalonan untuk bertaruh dalam ANAM 2020.