Siaran Media — Penganjuran Anugerah Nasyid Malaysia 2020
KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER 2020 - Buat julung kalinya, Anugerah Nasyid Malaysia atau ringkasnya ANAM 2020 bakal dianjurkan oleh MUNSYID Malaysia dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi. Ianya bakal disiarkan secara langsung di TV1 RTM pada 27 Disember 2020 pukul 9.00 malam.
ANAM 2020 bakal mempertandingkan 11 kategori, dengan enam kategori yang dinilai oleh juri profesional, tiga kategori dinilai melalui undian peminat dan dua kategori anugerah khas juri. Terdapat juga satu kategori yang melibatkan artis nasyid dari Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura. ANAM 2020 adalah salah satu langkah awal ke arah penganjuran Festival Nasyid Antarabangsa Malaysia pada tahun 2021, sejajar dengan status Malaysia sebagai “The Home of Contemporary Nasyeed” di persada dunia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah menyatakan, “Industri Nasyid Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan di pentas dunia sejak awal kemunculannya walaupun kurang diberi perhatian sebelum ini. Artis-artis nasyid kita telah diundang membuat persembahan merentasi pelbagai benua malah ada yang tersenarai dalam 500 Muslim berpengaruh di dunia. Jadi sudah tiba masanya untuk kita membangunkan potensi yang ada pada industri nasyid Malaysia supaya ianya bukan sahaja mampu mengharumkan nama negara malah mampu membawa impak ekonomi dalam jangka panjang, melalui pelbagai sektor hiliran melibatkan industri pelancongan, industri halal dan industri muzik itu sendiri. Penganjuran Anugerah Nasyid Malaysia 2020 merupakan satu langkah penting dalam merealisasikannya di masa hadapan.”
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al Bakri, pula menjelaskan impian beliau untuk melihat industri nasyid kembali bangkit seperti pada awal kemunculannya.“ Saya melihat nasyid sebagai satu cabang kesenian Islam yang bukan sahaja menawarkan hiburan yang sihat dan mendidik kepada masyarakat tetapi juga berperanan sebagai salah satu instrumen dakwah yang berkesan khususnya bagi generasi muda hari ini. Melalui penganjuran ANAM 2020, ia akan menggalakkan penghasilan karya-karya nasyid berkualiti secara berterusan sekaligus menghidangkan masyarakat dengan hiburan yang mendidik jiwa. Mesej-mesej positif dan nilai-nilai murni yang dibawa melalui lagu-lagu nasyid juga diharap dapat membentuk masyarakat Malaysia dan dunia yang bersatu padu dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.
“Bagi pihak rakan-rakan aktivis nasyid tanah air, saya ingin melahirkan rasa syukur dan terima kasih kami kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas keprihatinan dan perhatian yang diberikan kepada pembangunan dan perkembangan industri nasyid Malaysia. Inilah kali pertama, industri nasyid Malaysia mendapat sokongan yang sebegitu besar oleh pihak kerajaan sehingga ke tahap ini. Apatah lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan besar kepada penggiat industri nasyid dan muzik secara keseluruhannya. Maka penganjuran ANAM 2020 akan memberi manfaat kepada lebih 300 penggiat industri secara langsung dan tidak langsung sama ada penyanyi, pemuzik mahupun pekerja di belakang tabir.” ujar Muhamad Razin Che Mud selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ANAM 2020 yang juga merupakan Presiden MUNSYID Malaysia.
Adalah diharapkan penganjuran ANAM 2020 akan mendapat sambutan dan sokongan padu daripada semua pihak sama ada di sektor kerajaan, korporat, badan bukan kerajaan mahupun orang perseorangan agar ianya mencapai objektif yang diharapkan.
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumbalas boleh terus menghubungi Unit Media dan Publisiti ANAM 2020 (ITO Lara - 017-377 2902, Nasir Deraman - 013-604 8000) atau Unit Tajaan dan Pemasaran ANAM 2020 (Afad – 019-265 9284). Sila ikuti website www.anam.my atau Instagram anam.my dan Facebook Page Anugerah Nasyid Malaysia untuk perkembangan terkini ANAM 2020.